Wednesday, April 29, 2009

Mana Wimexnya ?

Terengganu manfaatkan sistem jalur lebar WiMax
Oleh Hizral Tazzif Hisham
Kerajaan negeri belanja RM20 juta bagi menyediakan teknologi tanpa wayar, kenakan caj bulanan RM20 kepada pengguna

KERAJAAN Terengganu bercadang meningkatkan kemampuan prasarana maklumatnya dengan memanfaatkan jalur lebar tanpa wayar WiMax yang memiliki kelajuan lebih 300 Megabits satu saat (Mbps) yang akan disediakan di seluruh negeri.

CANGGIH: Produk
tanpa wayar WiMAX

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi Negeri, Datuk Wan Hisham Wan Salleh, berkata penyediaan teknologi jalur lebar tanpa wayar itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang hendak memberikan kemudahan komunikasi kepada rakyat dan juga menarik pelabur asing ke negeri ini.

“Kerajaan menjangka membelanjakan sebanyak RM20 juta bagi menyediakan kemudahan WiMax dengan bayaran serendah RM20 sebulan dikenakan kepada pengguna,” katanya ketika ditemui di Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, bagi memastikan pembangunan sumber manusia sebanyak 32 pusat Komuniti Bestari di seluruh negeri diwujudkan bagi memberikan pendedahan percuma kepada semua peringkat lapisan masyarakat sama ada belia, wanita atau warga emas.

“Komuniti Bestari itu tidak terhad kepada latihan semata-mata malah ia diperluaskan kepada aktiviti atau program kerajaan seperti Program Dana2U (pendaftaran penerima bantuan hari Raya) dan e-remaja,” katanya.

Wan Hisham berkata, kerajaan negeri mensasarkan lebih 100,000 pengguna yang akan memanfaatkan perkhidmatan Komuniti Bestari serta menambah 16 pusat Komuniti Bestari di seluruh negeri serta meningkatkan lagi kemudahan latihan dan capaian Internet di pusat berkenaan.

Beliau berkata, Terengganu berhasrat untuk muncul sebagai Lembah Silikon di Malaysia dalam tempoh tiga tahun terutama dalam bidang pembangunan perisian, pembangunan kandungan dan animasi dua dimensi dan tiga dimensi.

“Kerjasama antara kerajaan dan swasta berjalan seiring yang mana kerajaan negeri menyediakan latihan dalam bidang animasi dan pihak swasta menyediakan kandungan mata pelajaran serta latihan industri kepada pelajar berkenaan.

“Sebanyak 193 perintis program pembangunan tenaga mahir multimedia (M2Farm) selesai menjalani latihan pembangunan kandungan multimedia dan ketika ini sedang menjalani latihan di syarikat swasta selama setahun.

“Program M2Farm ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan negeri mengeluarkan 4,000 tenaga kerja mahir dalam bidang animasi setahun,” katanya.

20 kawasan di Terengganu akan dilengkapi jalur lebar 2008
KUALA TERENGGANU 31 Mei - Sebanyak 20 kawasan di tujuh daerah di negeri ini akan dilengkapi dengan kemudahan jalur lebar menjelang awal tahun depan bertujuan untuk memberi liputan lebih komprehensif dan membangunkan perkhidmatan Wi-Fi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Yahya Khatib Mohamad berkata, kemudahan itu akan disediakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
''Antara kawasan yang dikenalpasti adalah kawasan pedalaman dan kawasan-kawasan baru yang boleh menghubungkan Terengganu dengan negeri-negeri lain.
''Untuk negeri Terengganu, kita jangkakan dapat menyediakan perkhidmatan ini selewat-lewatnya awal tahun depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Komunikasi Multimedia Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengarah SKMM Wilayah Timur, Mohd. Shafie Harun.
Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkalan Berangan memberitahu, perkhidmatan itu juga adalah sebahagian daripada matlamat kerajaan untuk memperluaskan sistem berkenaan ke seluruh negeri ini menjelang 2010.
MemanfaatkanKatanya, perkhidmatan itu juga bagi membolehkan penduduk yang tinggal di luar bandar turut dapat memanfaatkan kemudahan tersebut.
''Kemudahan ini juga bagi membolehkan pengguna telefon bimbit mengakses Internet di kawasan lebuh raya," ujarnya.
Katanya, melalui kemudahan tersebut, perkhidmatan penggunaan telefon bimbit juga dapat dipertingkatkan.
Jelasnya, penyediaan infrastruktur seumpama itu adalah menepati kehendak selain mengikut garis panduan Pelan Jalur Lebar Kebangsaan yang dikeluarkan oleh SKMM serta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.