Thursday, November 8, 2007

Guna Lapangan Terbang Separuh Siap












Ini gambor-gambor pada 28 Oktober, 2007Kerana nak tunjuk GONG, separuh siap pun separuh siap lah. Tak kira samada selamat atau tidak. Walhal, sesuatu pembinaan itu mesti mendapat sijil selamat baru boleh di gunakan ! Acu tengok kenyataan Wan Hisham kat bawah tu !

Inilah Laporan dari UKOM, pada 1 Oktober.

Lapangan Terbang Baru Mula Operasi Minggu Depan

Oleh: Esah Abdullah
Sebagaimana yang dijanjikan, mulai 7 Oktober ini Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) yang baru akan memulakan operasinya, bagaimanapun pada peringkat permulaan terhad pada bahagian ketibaan sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi Negeri, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh memberitahu pemberita sebaik selesai membuat tinjauan kerja-kerja di tapak projek di LTSM, Kuala Terengganu, hari ini (1 Oktober).
Katanya, bahagian pelepasan pula dijangka dapat digunakan dua bulan lagi dan untuk sementara LTSM masih menggunakan bangunan lama untuk urusan pelepasan penumpang sementara kerja-kerja pemindahan dari bangunan lama ke bangunan baru selesai.
“Pada keseluruhan pembinaan projek LTSM ini sudah siap 70 peratus dan pekerja sedang bekerja keras untuk menyiapkan projek ini lebih awal walaupun tempoh akhir siap pada April tahun depan,” katanya.
Beliau berkata, sebenarnya kalau mengikut jadual siap projek ini pada April tahun depan, bagaimanapun bagi menunaikan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu LTSM baru beroperasi sebelum menjelang hari raya, ia berjaya disiapkan hasil kerja kuat semua pihak.
Menurut Dato’ Wan Hisham, apabila semuanya siap tapak bangunan lama akan dijadikan sebahagian daripada tempat meletak kapal terbang.
Kontraktor yang terlibat menyiapkan LTSM ini terdiri daripada tiga syarikat tempatan dan kerajaan rasa bangga diatas keupayaan kontraktor ini menyiapkan projek besar seperti LTSM.
Unit Komunikasi Negeri

Monday, October 8, 2007

Fertigasi Kg Pela : Lagi Fertigasi Mega Tipu

UKOM Menulis :

Program Daerah Saya Bersama Media (DSBM) anjuran Unit Komunikasi (Ukom) baru-baru ini (8 Ogos) menjadi momentum memperkenalkan kejayaan yang dicipta dan pembangunan di setiap daerah di Terengganu kepada masyarakat luar melalui akhbar, radio dan televisyen.
Perintis program adalah daerah Hulu Terengganu di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Hulu Terengganu (PDHT) menjadi perkampungan sekumpulan petugas media massa dan elektronik seperti Berita Harian, Utusan, Radio & Televisyen Malaysia (RTM) dan Kosmo! membuat liputan di lokasi yang dikenal pasti berpotensi dan berjaya serta membangun.
Antaranya ialah projek tanaman cili menggunakan kaedah Fertigasi Mega, Kampung Pela; Pusat Pemuliharaan dan Ternakan Tuntung, Kampung Dusun, Projek Tanaman Sayuran Berkelompok, Kampung Bukit Diman dan pembinaan pasar, Kuala Berang di Hulu Terengganu.
Projek tanaman cili kaedah fertigasi mega umpamanya, dijangka mampu memberikan pendapatan kira-kira RM2,500 sebulan bagi peserta apabila hasil pertamanya dituai awal November ini.
Projek yang dijalankan di kawasan seluas 10 hektar itu mampu meningkatkan pendapatan peserta yang kebanyakannya terdiri daripada golongan miskin dan usahawan yang tiga kampung berdekatan iaitu Kampung Pela, Kampung Durian Kassim dan Kampung Tok Dor.
Hakikat sebenar bukan untuk golongan miskin dan usahawan;

Mengambil contoh projek Fertigasi Kampung Pela, Ajil, Hulu Terengganu; projek tersebut baru saja bermula. Tinjauan yang dibuat oleh NGO Sedartani pada awal September, para peserta sedang memperkemaskinikan saluran paip air, belum ada satu peserta pun yang telah memulakan projek. Namun begitu, sekiranya dirujuk didalam berita arus perdana, propagandanya begitu hebat seolah-olah projek tersebut telah mengeluarkan hasil.
"Ini adalah satu propaganda yang cuba menaikkan ADUN setempat,dan EXCO yang berkaitan. Sebenarnya terlalu banyak masalah-masalah yang timbul kerana perlaksanaan Projek Fertigasi tanpa perancangan rapi" Ujar Ustaz Wan Hassan, yang pernah menjadi ADUN Kawasan Sura. Antara penyelewengan yang berlaku didalam projek Fertigasi Mega Kg Pela adalah; peserta-peserta projek bukan dikalangan golongan miskin dan usahawan sebagai mana berita (rujuk UKOM.

Tinjauan yang dibuat (rujuk gambar) daripada peserta yang ada ditapak projek Fertigasi Kg Pela, 3 daripada peserta mempunyai kenderaan yang agak selesa dan projek tersebut di ketuai oleh Pengerusi JKKK Kg Pela. Kebanyakkan peserta adalah mereka-meraka yang berkait rapat dengan JKKK dan UMNO Cawangan. Lebih RM 20 juta telah dibelanjakan didalam program Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2006, hampir keseluruhannya adalah untuk projek Fertigasi. Sehingga kini, tiada sebarang laporan yang dikemukakan berkenaan kejayaan projek tersebut

CCTV untuk Kecemerlangan Kakitangan - TIPU

Kata Setiusaha Kerajaan Negeri Terengganu :

Sebanyak 42 kamera litar tertutup (cctv) akan dipasang di lokasi terpilih di Wisma Darul Iman (WDI) bagi memastikan kakitangan sentiasa berdisplin dan tidak ingkar dengan peraturan ketika menjalankan tugas.Sebagai percubaan, 16 cctv sudah dipasang dan selebihnya iaitu 26 unit lagi dijangka siap akhir Jun ini.Segala tingkah laku kakitangan akan dipantau Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong melalui skrin utama di bilik masing-masing.Dato’ Mokhtar berkata, melalui kaedah itu Kerajaan Negeri percaya setiap kakitangan akan lebih berdisplin dan tidak lagi mengamalkan budaya kerja sambil lewa.“Budaya kerja ala `korporat’ akan terlaksana secara sendiri apabila seseorang kakitangan itu berubah dan ingin menjadi pekerja berdisplin dan cemerlang,” katanya di Majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan WDI, hari ini (6 Jun).
Kata Ketua Setiausaha Negara :
Kerajaan tidak perlu memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua jabatan kerajaan Persekutuan bagi memantau kira-kira sejuta kakitangan awam pada waktu pejabat.Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata bukan CCTV yang menentukan kecemerlangan sebaliknya budaya kerja berintergriti dapat menyelesaikan masalah dan ketidakcekapan di kalangan kakitangan awam."Kita tidak perlu memantau dan mengawasi (melalui CCTV) tempat kerja kakitangan awam kerana mereka mempunyai wibawa dan diterima oleh masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan Terengganu memasang 16 CCTV di kompleks pentadbiran kerajaan negeri baru-baru ini.CCTV berkenaan dipasang bagi tujuan keselamatan, bagaimanapun Setiausaha Kerajaan negeri Terengganu dilaporkan berkata, kamera berkenaan turut digunakan untuk memantau kira-kira 1,000 kakitangan yang bertugas di bangunan berkenaan.
Berita Harian, Kucing, 16 Jun 2007

Monday, August 13, 2007

Tipu 5: Isu Pasar Borong, Memang Deris Berbohong

Ini yang ditulis didalam UKOM :

Terminal Agro RM40 Juta di Bukit Payung

Pasar Borong Gong Pauh yang berkeadaan kurang selesa akan digantikan dengan Terminal Agro yang akan dibina di Bukit Payung.
Oleh: Suriati Ali
Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM40 juta bagi membina pasar borong baru yang dikenali sebagai Terminal Agro di Bukit Payung, Marang. Pembinaan terminal yang menggantikan Pasar Borong Gong Pauh itu masih lagi dalam perangkaan pelan dan dijangka siap akhir 2009. Apabila siap kelak ia mampu memenuhi hasrat peniaga terutama mereka yang menjalankan jualan secara borong memperluaskan ruang niaga masing-masing.
Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, pembinaan Terminal Agro dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi peniaga yang sekarang ini masih menggunakan pasar borong lama iaitu di Gong Pauh. Katanya, isu kekurangan bekalan air yang dibangkitkan peniaga sebelum ini adalah disebabkan beberapa faktor dalaman yang mana sebelum ini dipegang Yayasan Amal PAS Malaysia. Katanya, ada di kalangan ahli yayasan itu kurang berpuas hati selepas Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) mengambil alih pengurusan pasar itu.
“Mereka sanggup bertindak diluar batasan dengan mencabut hampir keseluruhan pili air sehingga menyukarkan peniaga mendapatkan sumber air untuk menjalankan peniagaan masing-masing
“Bagi meredakan keadaan pegawai MPKT telah mengadakan perbincangan bersama peniaga pada 25 April lalu dan dalam perjumpaan itu, MPKT bersetuju membaiki segala kelengkapan yang rosak selain bertindak membersih longkang, surau dan menyusun semula aturan keluar masuk ke pasar itu sementara menunggu Terminal Agro siap,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri turut kesal dengan sikap yayasan itu kerana tiada perancangan teliti bagi memenuhi keselesaan peniaga. “Demi keuntungan hasil sewa, mereka sanggup membuka ruang kepada 327 individu untuk berniaga walaupun menyedari pasar itu hanya mampu memuatkan 60 ruang niaga,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini (13 Jun).
Sementara itu, Dato, Seri Idris turut menjawab pertanyaan pemberita yang ingin mengetahui mengenai status sistem pengangkutan keretapi yang ingin diwujudkan di Terengganu.
Katanya, beliau sering membangkitkan isu pembinaan keretapi di Terengganu ketika bermesyuarat bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana memikirkan sistem keretapi perlu bagi menarik pelancong selain dapat menjana ekonomi negeri Terengganu.
Jika diwujudkan ia menjadi pelengkap untuk sistem pengangkutan dan sektor pelancongan selain ada kemudahan pengangkutan lain termasuk Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa.
Unit Komunikasi Negeri.

Yang di 'attach' kan tu pula adalah rakaman yang dibuat semasa sidang media. Cuba dengar dan bandingkan....

Dan ini Fakta sebenar;

Pasar Borong Darul Iman/Gong Pauh dirasmikan pada 26/09/2002 dibangun atas tapak Agromart, Kompleks yang ditinggalkan oleh kerajaan Wan Mokhtar mempunyai tunggakan bil air ribuan ringgit.400 orang berniaga dipayungi Persatuan Peniaga Pasar Borong. Khidmat KPK Trading Sdn Bhd mengurus dan menyelenggara Pasar Borong, mengutip hasil sewaan minima lebih/kurang RM 7,000.00/bulan, merancang pembangunan, memberi ruang, memastikan kebersihan, menyelesaikan masalah dan membayar sebahagian tunggakan bil air
Hingga akhir tahun 2004, Apabila UMNO merampas pemerintahan, Khidmat KPK ditamatkan, MPKT mengambil alih dan segala masalah di Pasar Borong bermula. Pelbagai kemudahan asas dihentikan dan penyelenggaraan peralatan tidak dilaksanakan. MPKT terus mengutip sewaan tapak. Peniaga mula gunakan air parit,
Pihak Persatuan berkali-kali buat aduan, pohon penyelenggaraan dan pembaikian, tetapi tidak dilayan, tidak diendahkan.Jam 12.30 malam, 18 April 2007, 07 buah lot kedai & bangunan tandas di Pasar Borong terbakar. Sejak itu, seksa nak buang air. Persatuan berusaha lagi, memohon ehsan kerajaan negeri, tapi tidak dipeduli. Hanya pada 27hb April 2007, perjumpaan diadakan dengan wakil Yang Dipertua MPKT,berjanji nak baiki tandas, nak sambung air tapi.

Setelah janji tak ditepati, Persatuan Peniaga mengambil keputusan mengadu ke TV3. Pada 5hb Jun, 2006, selepas disiar berita Buletin Utama, barulah kerajaan kelam kabut.

Saturday, August 4, 2007

Tipu 4: ‘Monsoon Cup’ Raih RM315J

‘Monsoon Cup’ Raih RM315J - Putar Belit atau Pembohongan.
Oleh Wartawan Bebas

Laporan yang diumumkan oleh Idris Jusoh adalah satu Laporan Acara dan Penilaian Jenama. Akhbar Utusan Malaysia 29 Mac, langsung tidak menyatakan bahawa ia adalah laporan Acara dan Penilaian Jenama. Cuma Berita Harian ada menyebutnya. Laporan New Straits Times jelas menyatakan ianya adalah ‘Monsoon Cup 2006 Event Valuation Report’, maknanya Laporan Penilaian Acara Monsoon Cup 2006, bukannya satu Laporan Kewangan!

Oleh kerana ia adalah Laporan Penilaian, maka kaedah penilaian keuntungan tersebut dibuat adalah berdasarkan anggaran semata-mata. Ini jelas dinyatakan oleh laporan akhbar bahawa ;

“Nilai ketara berjumlah RM277,630,300, manakala nilai tidak ketara pula ialah RM37,365,611. Jika ditolak kos penganjuran acara itu sebanyak RM20,067,997, nilai acara yang diaudit mencapai jumlah RM294,927,920,”

Kenyataan ini menyebut nilai, bukan jumlah sebenar yang diterima

Juga di sebut sebagai “Penilaian kasar Media TV mencatat peningkatan sebanyak 69 peratus (RM111,643,728), manakala jumlah kehadiran pengunjung sebanyak 35 peratus membabitkan kehadiran 33,700 orang.”

Jelas dinyatakan Penilaian Kasar, bermakna bukan angka sebenar. Selain itu kehadiran 33, 700 orang juga adalah jumlah yang tidak munasabah langsung.

Selain itu terdapat percanggahan pelaporan antara Berita Harian dan Straits Times. Mungkin kerana wartawan dan Ketua Pengarang sendiri pun tidak berapa faham, sebagaimana orang ramai.

Berita Harian menyebut “Berdasarkan laporan penilaian kasar Media TV mencatat peningkatan sebanyak 69 peratus (RM111,643,728), manakala jumlah kehadiran pengunjung sebanyak 35 peratus membabitkan kehadiran 33,700 orang.”

Manakala New Straits Times melaporkan “Last year’s event also garnered RM111,643,728 in gross media value, a 45 per cent increase from 2005. Viewership of the live telecast and highlights of the event also increased by 80 per cent from the previous year”

Andaikanlah bahawa anggaran penilaian yang dibentangkan oleh Deris Jusoh bersama Taukeh Konspirasi (Adnan Mansor) itu betul, beberapa persoalan perlu di jawab. Yang pertama, siapa yang memperolehi hak penyiaran Piala Monsoon 2005 dan 2006? Siapa pula yang akan mendapat hasil RM 315J seperti yang dinyatakan ? Kerajaan dan rakyat Negri Terengganu ??? Mungkin Tidak !!

Yang jelas, benar dan diketahui umum, sehingga kini akaun penganjuran Monsoon Cup 2005 masih tidak ditutup. Maklumat dari pejabat audit menyatakan demikian. Selain itu Laporan Ketua Audit Negara Didalam Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu 2005, menyatakan dengan jelas masalah akaun penerimaan dan pembayaran penganjuran Monsoon Cup 2005 dan Amanh Projek Pembangunan Pulau Duyung. Ia dinyatakan dengan jelas didalam mukasurat 35, seperti dibawah;

b) Akaun Amanah Program Penganjuran Monsoon Cup Negeri Terengganu Dan Amanah Projek Pembangunan Pulau Duyung

Kedua akaun amanah ini ditubuhkan pada awal September 2005. Akaun Amanah Program Penganjuran Monsoon Cup bertujuan untuk mengakaunkan pembiayaan program penganjuran sukan kapal layar yang dikenali sebagai Monsoon Cup Negeri Terengganu yang akan diadakan setiap tahun. Manakala Akaun Amanah Projek Pembangunan Pulau Duyung pula adalah untuk mengakaunkan perbelanjaan bagi projek pembangunan Pulau Duyung Negeri Terengganu. Kedua akaun ini dikawal oleh Pegawai Kewangan Negeri. Sumber utama akaun ini adalah melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan. Mengikut arahan amanah, penyata penerimaan dan pembayaran tahunan hendaklah dikemukakan untuk diaudit tidak lewat dari 31 Mac setiap tahun. Semakan Audit mendapati perkara seperti berikut:

i) Penyata Penerimaan Dan Pembayaran kedua-dua akaun tersebut secara terperinci tidak dikemukakan untuk diaudit.
ii) Kedua-dua akaun amanah tersebut telah ditubuhkan mengikut Seksyen 9, Akta Acara Kewangan 1957. Akaun amanah ini sepatutnya ditubuhkan di bawah Seksyen 10 Akta Acara Kewangan kerana sumbernya adalah wang kerajaan. Mengikut penjelasan daripada pihak Perbendaharaan Negeri, perkara di atas berlaku kerana ia tidak melibatkan wang Kerajaan Negeri dan penubuhan akaun ini bertujuan untuk mengakaun sementara terimaan daripada Kerajaan Persekutuan sebelum dibayar kepada Agensi Negeri dan syarikat yang melaksanakan aktiviti tersebut.
iii) Tidak semua perbelanjaan berkaitan diakaunkan terutamanya perbelanjaan yang dibuat di peringkat Jabatan dan Agensi Negeri yang terlibat.

Harakah pernah menerbitkan laporan ini pada awal tahun dan menyarankan BPR perlu menyiasat perkara tersebut. Namun tidak ada apa-apa kenyataan dibuat oleh pihak berkuasa sehingga kini.

Tipu 3: Terenganu Guna Mesin Berteknologi Untuk Pelupusan Sampah

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan menggunakan mesin pelupusan sampah berteknologi tinggi agar sampah sarap tidak terus mencemarkan alam sekitar, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Ahmad Said.
Bagi tujuan itu, katanya beliau akan mengadakan lawatan ke Korea tidak lama lagi bagi meninjau keberkesanan mesin berkenaan untuk digunakan di negeri ini.
Katanya kajian menunjukkan bahawa kaedah pembuangan sampah di kawasan pelupusan sampah seperti hutan dan bukit ketika ini sudah tidak relevan lagi kerana ia boleh membawa banyak masalah, termasuk pencemaran.
"Oleh itu kita mahu mencuba teknologi moden ini di mana mesin tersebut membolehkan bahan daripada sampah digunakan semula sebagai baja, manakala karbon yang dikeluarkan boleh dijual," katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Selain itu, Ahmad berkata sejumlah 1,000 tong sampah akan ditambah di seluruh negeri tahun depan sebagai usaha meningkatkan tahap kebersihan negeri sejajar dengan konsep Islam Hadhari Terengganu Bistari.
-- BERNAMA

Tipu 2:Terengganu keluar strawberi akhir tahun

Terengganu keluar strawberi akhir tahun
Oleh Shaarani Ismail
14 Feb 2007

KUALA TERENGGANU: Terengganu dijangka mengeluarkan strawberi pertamanya selepas projek perintis penanaman strawberi dengan kaedah fertigasi di tanah rendah mengeluarkan hasil selewat-lewatnya akhir tahun ini.Projek itu yang pertama di Malaysia dan Terengganu menjadi negeri pertama melaksanakan tanaman strawberi tanah rendah secara bioteknologi melalui fertigasi biohidrotronik.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Peniaga Kecil negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata pembangunan untuk pelaksanaan projek itu yang dikenali sebagai Rumah Hijau Terengganu dibangunkan pereka tempatan, Zulkifli Harun daripada Zull Design Autotronik Sdn Bhd."Projek perintis dijangka berupaya mengeluarkan hasil sekitar tiga hingga empat bulan lagi serta mampu bertahan selama lima tahun bagi setiap pokok dan selepas itu pembangunan projek ini akan dikembangkan kepada usahawan tani yang berminat di seluruh negeri."Sistem ini dikawal secara elektronik dan memerlukan perisian dan perkakasan khas daripada Zul Design," katanya.Beliau berkata demikian selepas melawat tapak projek berkenaan seluas 0.4 hektar di Kampung Bukit Jong, dekat sini semalam. Hadir sama Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Mustafar Khalid."Kos keseluruhan bagi membangunkan projek ini sekitar RM200,000 dan kerajaan menyediakan peruntukan bagi melaksanakannya menerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Wilayah negeri," katanya.Sementara itu, Ketua Unit Holtikultur, Jabatan Pertanian Negeri, Abdul Rahim Mohamad, berkata teknik fertigasi bagi tanaman strawberi menggunakan medium hampas batang pelepah nipah yang lebih menyerap air berbanding sabut kelapa.Katanya, teknologi diperkenalkan Zulkifli menggunakan kawalan elektronik sepenuhnya menerusi Pembangunan Indikator Frekuensi Radio (RFID) dan lazim digunakan dalam sektor pertanian hawa sederhana di Eropah."Teknologi ini pertama kali digunakan di Malaysia untuk tanaman hawa sederhana tanah rendah dan kami berharap ia berjaya menjadikan Terengganu sebagai pengeluar strawberi tanah rendah pertama di Malaysia," katanya.

Tipu 1 : Terengganu sasar 25,000 pekerjaan dalam lima tahun

Pada 07 Mac, 2003, akhbar berita harian melaporkan seperti dibawah;

Terengganu sasar 25,000 pekerjaan dalam lima tahun
Oleh Nazura Ngah
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mensasarkan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada 25,000 penduduk dalam tempoh lima tahun bagi membasmi kemiskinan mutlak di peringkat akar umbi.Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh, berkata sebanyak 5,000 peluang pekerjaan baru di semua sektor dijangka dapat diwujudkan setiap tahun.Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai senarai keutamaan dalam menjana pembangunan iaitu mendahulukan usaha penjanaan pendapatan rakyat melalui peluang pekerjaan baru.
Katanya, usaha kedua kerajaan negeri ialah melaksanakan pendemokrasian pendidikan iaitu memastikan tiada yang tercicir akibat kemiskinan dan mutu pendidikan yang terbaik di sekolah, termasuk di kawasan luar bandar.Di samping itu, katanya latihan kemahiran akan dipertingkatkan dari segi kualiti dan kuantiti pusat latihan supaya bilangan serta kualiti tenaga kerja mahir dapat dihasilkan.“Ketiga ialah peluang rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan termampu.“Berdasarkan keutamaan itu, beberapa cabaran yang perlu dihadapi digariskan iaitu cabaran pertama adalah untuk mengubah pemikiran atau sikap rakyat Terengganu, sikap pegawai dan kakitangan kerajaan sebagai `frontliners' dari segi budaya kerja yang efisien dan cepat.
“Selain itu mengubah sikap dan persepsi semua terhadap pelabur dan peniaga sebagai rakan kongsi dalam pembangunan, mengubah sikap usahawan Terengganu supaya lebih kreatif, kompetitif, global dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan,” katanya pada majlis Dialog Pelaburan & Perdagangan dan Seminar Berkenaan Peluang-peluang Dalam Perkilangan Dan Perkhidmatan Berkaitan di Terengganu, di sini, kelmarin.Majlis dialog itu dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz.Idris berkata cabaran mengubah pemikiran adalah cabaran paling utama kerana ia akan mengambil masa yang panjang dan langkah penyelesaiannya harus berdasarkan kepada lapan prinsip Islam Hadhari iaitu syumul dan seimbang, mesra, cemerlang, kreatif, inovatif dan kompetitif, global, ilmu, moden dan kotemporari serta akhlak.Beliau berkata cabaran kedua ialah menjadikan Terengganu sebagai negeri maju mengikut acuan sendiri menjelang 2010.Katanya, kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) disasarkan meningkat daripada 3.4 peratus pada masa kini kepada purata enam peratus setahun dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Cabaran ketiga ilah cabaran mengubah struktur ekonomi negeri yang terlalu bergantung kepada sumber petroleum, di samping sebanyak 27 peratus tenaga kerja adalah dalam sektor pertanian.“Oleh itu, kerajaan negeri perlu mencari sumber pendapatan negeri yang baru seperti pelancongan dan bioteknologi. Kita mensasarkan kenaikan sumbangan sektor pelancongan kepada KDNK daripada tiga peratus kepada 10 peratus dalam tempoh lima tahun,” katanya.Idris berkata cabaran keempat ialah mengatasi masalah infrastruktur melalui perancangan jangka panjang, manakala cabaran kelima ialah untuk memperbaiki sistem penyampaian kerajaan.Beliau berkata untuk terus kekal relevan dan kompetitif, mekanisme dan operasi kerajaan negeri perlu lebih ‘pro-peniagaan’.“Kerajaan akan meningkatkan keupayaan ‘one - stop investment centre’ yang sedia ada supaya dapat memproses dan meluluskan sebarang permohonan yang lengkap dalam tempoh sebulan dari tarikh permohonan dibuat,” katanya.
-- Berita Harian