Monday, August 13, 2007

Tipu 5: Isu Pasar Borong, Memang Deris Berbohong

Ini yang ditulis didalam UKOM :

Terminal Agro RM40 Juta di Bukit Payung

Pasar Borong Gong Pauh yang berkeadaan kurang selesa akan digantikan dengan Terminal Agro yang akan dibina di Bukit Payung.
Oleh: Suriati Ali
Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM40 juta bagi membina pasar borong baru yang dikenali sebagai Terminal Agro di Bukit Payung, Marang. Pembinaan terminal yang menggantikan Pasar Borong Gong Pauh itu masih lagi dalam perangkaan pelan dan dijangka siap akhir 2009. Apabila siap kelak ia mampu memenuhi hasrat peniaga terutama mereka yang menjalankan jualan secara borong memperluaskan ruang niaga masing-masing.
Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, pembinaan Terminal Agro dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi peniaga yang sekarang ini masih menggunakan pasar borong lama iaitu di Gong Pauh. Katanya, isu kekurangan bekalan air yang dibangkitkan peniaga sebelum ini adalah disebabkan beberapa faktor dalaman yang mana sebelum ini dipegang Yayasan Amal PAS Malaysia. Katanya, ada di kalangan ahli yayasan itu kurang berpuas hati selepas Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) mengambil alih pengurusan pasar itu.
“Mereka sanggup bertindak diluar batasan dengan mencabut hampir keseluruhan pili air sehingga menyukarkan peniaga mendapatkan sumber air untuk menjalankan peniagaan masing-masing
“Bagi meredakan keadaan pegawai MPKT telah mengadakan perbincangan bersama peniaga pada 25 April lalu dan dalam perjumpaan itu, MPKT bersetuju membaiki segala kelengkapan yang rosak selain bertindak membersih longkang, surau dan menyusun semula aturan keluar masuk ke pasar itu sementara menunggu Terminal Agro siap,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri turut kesal dengan sikap yayasan itu kerana tiada perancangan teliti bagi memenuhi keselesaan peniaga. “Demi keuntungan hasil sewa, mereka sanggup membuka ruang kepada 327 individu untuk berniaga walaupun menyedari pasar itu hanya mampu memuatkan 60 ruang niaga,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini (13 Jun).
Sementara itu, Dato, Seri Idris turut menjawab pertanyaan pemberita yang ingin mengetahui mengenai status sistem pengangkutan keretapi yang ingin diwujudkan di Terengganu.
Katanya, beliau sering membangkitkan isu pembinaan keretapi di Terengganu ketika bermesyuarat bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana memikirkan sistem keretapi perlu bagi menarik pelancong selain dapat menjana ekonomi negeri Terengganu.
Jika diwujudkan ia menjadi pelengkap untuk sistem pengangkutan dan sektor pelancongan selain ada kemudahan pengangkutan lain termasuk Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa.
Unit Komunikasi Negeri.

Yang di 'attach' kan tu pula adalah rakaman yang dibuat semasa sidang media. Cuba dengar dan bandingkan....

Dan ini Fakta sebenar;

Pasar Borong Darul Iman/Gong Pauh dirasmikan pada 26/09/2002 dibangun atas tapak Agromart, Kompleks yang ditinggalkan oleh kerajaan Wan Mokhtar mempunyai tunggakan bil air ribuan ringgit.400 orang berniaga dipayungi Persatuan Peniaga Pasar Borong. Khidmat KPK Trading Sdn Bhd mengurus dan menyelenggara Pasar Borong, mengutip hasil sewaan minima lebih/kurang RM 7,000.00/bulan, merancang pembangunan, memberi ruang, memastikan kebersihan, menyelesaikan masalah dan membayar sebahagian tunggakan bil air
Hingga akhir tahun 2004, Apabila UMNO merampas pemerintahan, Khidmat KPK ditamatkan, MPKT mengambil alih dan segala masalah di Pasar Borong bermula. Pelbagai kemudahan asas dihentikan dan penyelenggaraan peralatan tidak dilaksanakan. MPKT terus mengutip sewaan tapak. Peniaga mula gunakan air parit,
Pihak Persatuan berkali-kali buat aduan, pohon penyelenggaraan dan pembaikian, tetapi tidak dilayan, tidak diendahkan.Jam 12.30 malam, 18 April 2007, 07 buah lot kedai & bangunan tandas di Pasar Borong terbakar. Sejak itu, seksa nak buang air. Persatuan berusaha lagi, memohon ehsan kerajaan negeri, tapi tidak dipeduli. Hanya pada 27hb April 2007, perjumpaan diadakan dengan wakil Yang Dipertua MPKT,berjanji nak baiki tandas, nak sambung air tapi.

Setelah janji tak ditepati, Persatuan Peniaga mengambil keputusan mengadu ke TV3. Pada 5hb Jun, 2006, selepas disiar berita Buletin Utama, barulah kerajaan kelam kabut.

Saturday, August 4, 2007

Tipu 4: ‘Monsoon Cup’ Raih RM315J

‘Monsoon Cup’ Raih RM315J - Putar Belit atau Pembohongan.
Oleh Wartawan Bebas

Laporan yang diumumkan oleh Idris Jusoh adalah satu Laporan Acara dan Penilaian Jenama. Akhbar Utusan Malaysia 29 Mac, langsung tidak menyatakan bahawa ia adalah laporan Acara dan Penilaian Jenama. Cuma Berita Harian ada menyebutnya. Laporan New Straits Times jelas menyatakan ianya adalah ‘Monsoon Cup 2006 Event Valuation Report’, maknanya Laporan Penilaian Acara Monsoon Cup 2006, bukannya satu Laporan Kewangan!

Oleh kerana ia adalah Laporan Penilaian, maka kaedah penilaian keuntungan tersebut dibuat adalah berdasarkan anggaran semata-mata. Ini jelas dinyatakan oleh laporan akhbar bahawa ;

“Nilai ketara berjumlah RM277,630,300, manakala nilai tidak ketara pula ialah RM37,365,611. Jika ditolak kos penganjuran acara itu sebanyak RM20,067,997, nilai acara yang diaudit mencapai jumlah RM294,927,920,”

Kenyataan ini menyebut nilai, bukan jumlah sebenar yang diterima

Juga di sebut sebagai “Penilaian kasar Media TV mencatat peningkatan sebanyak 69 peratus (RM111,643,728), manakala jumlah kehadiran pengunjung sebanyak 35 peratus membabitkan kehadiran 33,700 orang.”

Jelas dinyatakan Penilaian Kasar, bermakna bukan angka sebenar. Selain itu kehadiran 33, 700 orang juga adalah jumlah yang tidak munasabah langsung.

Selain itu terdapat percanggahan pelaporan antara Berita Harian dan Straits Times. Mungkin kerana wartawan dan Ketua Pengarang sendiri pun tidak berapa faham, sebagaimana orang ramai.

Berita Harian menyebut “Berdasarkan laporan penilaian kasar Media TV mencatat peningkatan sebanyak 69 peratus (RM111,643,728), manakala jumlah kehadiran pengunjung sebanyak 35 peratus membabitkan kehadiran 33,700 orang.”

Manakala New Straits Times melaporkan “Last year’s event also garnered RM111,643,728 in gross media value, a 45 per cent increase from 2005. Viewership of the live telecast and highlights of the event also increased by 80 per cent from the previous year”

Andaikanlah bahawa anggaran penilaian yang dibentangkan oleh Deris Jusoh bersama Taukeh Konspirasi (Adnan Mansor) itu betul, beberapa persoalan perlu di jawab. Yang pertama, siapa yang memperolehi hak penyiaran Piala Monsoon 2005 dan 2006? Siapa pula yang akan mendapat hasil RM 315J seperti yang dinyatakan ? Kerajaan dan rakyat Negri Terengganu ??? Mungkin Tidak !!

Yang jelas, benar dan diketahui umum, sehingga kini akaun penganjuran Monsoon Cup 2005 masih tidak ditutup. Maklumat dari pejabat audit menyatakan demikian. Selain itu Laporan Ketua Audit Negara Didalam Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu 2005, menyatakan dengan jelas masalah akaun penerimaan dan pembayaran penganjuran Monsoon Cup 2005 dan Amanh Projek Pembangunan Pulau Duyung. Ia dinyatakan dengan jelas didalam mukasurat 35, seperti dibawah;

b) Akaun Amanah Program Penganjuran Monsoon Cup Negeri Terengganu Dan Amanah Projek Pembangunan Pulau Duyung

Kedua akaun amanah ini ditubuhkan pada awal September 2005. Akaun Amanah Program Penganjuran Monsoon Cup bertujuan untuk mengakaunkan pembiayaan program penganjuran sukan kapal layar yang dikenali sebagai Monsoon Cup Negeri Terengganu yang akan diadakan setiap tahun. Manakala Akaun Amanah Projek Pembangunan Pulau Duyung pula adalah untuk mengakaunkan perbelanjaan bagi projek pembangunan Pulau Duyung Negeri Terengganu. Kedua akaun ini dikawal oleh Pegawai Kewangan Negeri. Sumber utama akaun ini adalah melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan. Mengikut arahan amanah, penyata penerimaan dan pembayaran tahunan hendaklah dikemukakan untuk diaudit tidak lewat dari 31 Mac setiap tahun. Semakan Audit mendapati perkara seperti berikut:

i) Penyata Penerimaan Dan Pembayaran kedua-dua akaun tersebut secara terperinci tidak dikemukakan untuk diaudit.
ii) Kedua-dua akaun amanah tersebut telah ditubuhkan mengikut Seksyen 9, Akta Acara Kewangan 1957. Akaun amanah ini sepatutnya ditubuhkan di bawah Seksyen 10 Akta Acara Kewangan kerana sumbernya adalah wang kerajaan. Mengikut penjelasan daripada pihak Perbendaharaan Negeri, perkara di atas berlaku kerana ia tidak melibatkan wang Kerajaan Negeri dan penubuhan akaun ini bertujuan untuk mengakaun sementara terimaan daripada Kerajaan Persekutuan sebelum dibayar kepada Agensi Negeri dan syarikat yang melaksanakan aktiviti tersebut.
iii) Tidak semua perbelanjaan berkaitan diakaunkan terutamanya perbelanjaan yang dibuat di peringkat Jabatan dan Agensi Negeri yang terlibat.

Harakah pernah menerbitkan laporan ini pada awal tahun dan menyarankan BPR perlu menyiasat perkara tersebut. Namun tidak ada apa-apa kenyataan dibuat oleh pihak berkuasa sehingga kini.

Tipu 3: Terenganu Guna Mesin Berteknologi Untuk Pelupusan Sampah

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan menggunakan mesin pelupusan sampah berteknologi tinggi agar sampah sarap tidak terus mencemarkan alam sekitar, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Ahmad Said.
Bagi tujuan itu, katanya beliau akan mengadakan lawatan ke Korea tidak lama lagi bagi meninjau keberkesanan mesin berkenaan untuk digunakan di negeri ini.
Katanya kajian menunjukkan bahawa kaedah pembuangan sampah di kawasan pelupusan sampah seperti hutan dan bukit ketika ini sudah tidak relevan lagi kerana ia boleh membawa banyak masalah, termasuk pencemaran.
"Oleh itu kita mahu mencuba teknologi moden ini di mana mesin tersebut membolehkan bahan daripada sampah digunakan semula sebagai baja, manakala karbon yang dikeluarkan boleh dijual," katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Selain itu, Ahmad berkata sejumlah 1,000 tong sampah akan ditambah di seluruh negeri tahun depan sebagai usaha meningkatkan tahap kebersihan negeri sejajar dengan konsep Islam Hadhari Terengganu Bistari.
-- BERNAMA

Tipu 2:Terengganu keluar strawberi akhir tahun

Terengganu keluar strawberi akhir tahun
Oleh Shaarani Ismail
14 Feb 2007

KUALA TERENGGANU: Terengganu dijangka mengeluarkan strawberi pertamanya selepas projek perintis penanaman strawberi dengan kaedah fertigasi di tanah rendah mengeluarkan hasil selewat-lewatnya akhir tahun ini.Projek itu yang pertama di Malaysia dan Terengganu menjadi negeri pertama melaksanakan tanaman strawberi tanah rendah secara bioteknologi melalui fertigasi biohidrotronik.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Peniaga Kecil negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata pembangunan untuk pelaksanaan projek itu yang dikenali sebagai Rumah Hijau Terengganu dibangunkan pereka tempatan, Zulkifli Harun daripada Zull Design Autotronik Sdn Bhd."Projek perintis dijangka berupaya mengeluarkan hasil sekitar tiga hingga empat bulan lagi serta mampu bertahan selama lima tahun bagi setiap pokok dan selepas itu pembangunan projek ini akan dikembangkan kepada usahawan tani yang berminat di seluruh negeri."Sistem ini dikawal secara elektronik dan memerlukan perisian dan perkakasan khas daripada Zul Design," katanya.Beliau berkata demikian selepas melawat tapak projek berkenaan seluas 0.4 hektar di Kampung Bukit Jong, dekat sini semalam. Hadir sama Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Mustafar Khalid."Kos keseluruhan bagi membangunkan projek ini sekitar RM200,000 dan kerajaan menyediakan peruntukan bagi melaksanakannya menerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Wilayah negeri," katanya.Sementara itu, Ketua Unit Holtikultur, Jabatan Pertanian Negeri, Abdul Rahim Mohamad, berkata teknik fertigasi bagi tanaman strawberi menggunakan medium hampas batang pelepah nipah yang lebih menyerap air berbanding sabut kelapa.Katanya, teknologi diperkenalkan Zulkifli menggunakan kawalan elektronik sepenuhnya menerusi Pembangunan Indikator Frekuensi Radio (RFID) dan lazim digunakan dalam sektor pertanian hawa sederhana di Eropah."Teknologi ini pertama kali digunakan di Malaysia untuk tanaman hawa sederhana tanah rendah dan kami berharap ia berjaya menjadikan Terengganu sebagai pengeluar strawberi tanah rendah pertama di Malaysia," katanya.

Tipu 1 : Terengganu sasar 25,000 pekerjaan dalam lima tahun

Pada 07 Mac, 2003, akhbar berita harian melaporkan seperti dibawah;

Terengganu sasar 25,000 pekerjaan dalam lima tahun
Oleh Nazura Ngah
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mensasarkan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada 25,000 penduduk dalam tempoh lima tahun bagi membasmi kemiskinan mutlak di peringkat akar umbi.Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh, berkata sebanyak 5,000 peluang pekerjaan baru di semua sektor dijangka dapat diwujudkan setiap tahun.Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai senarai keutamaan dalam menjana pembangunan iaitu mendahulukan usaha penjanaan pendapatan rakyat melalui peluang pekerjaan baru.
Katanya, usaha kedua kerajaan negeri ialah melaksanakan pendemokrasian pendidikan iaitu memastikan tiada yang tercicir akibat kemiskinan dan mutu pendidikan yang terbaik di sekolah, termasuk di kawasan luar bandar.Di samping itu, katanya latihan kemahiran akan dipertingkatkan dari segi kualiti dan kuantiti pusat latihan supaya bilangan serta kualiti tenaga kerja mahir dapat dihasilkan.“Ketiga ialah peluang rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan termampu.“Berdasarkan keutamaan itu, beberapa cabaran yang perlu dihadapi digariskan iaitu cabaran pertama adalah untuk mengubah pemikiran atau sikap rakyat Terengganu, sikap pegawai dan kakitangan kerajaan sebagai `frontliners' dari segi budaya kerja yang efisien dan cepat.
“Selain itu mengubah sikap dan persepsi semua terhadap pelabur dan peniaga sebagai rakan kongsi dalam pembangunan, mengubah sikap usahawan Terengganu supaya lebih kreatif, kompetitif, global dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan,” katanya pada majlis Dialog Pelaburan & Perdagangan dan Seminar Berkenaan Peluang-peluang Dalam Perkilangan Dan Perkhidmatan Berkaitan di Terengganu, di sini, kelmarin.Majlis dialog itu dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz.Idris berkata cabaran mengubah pemikiran adalah cabaran paling utama kerana ia akan mengambil masa yang panjang dan langkah penyelesaiannya harus berdasarkan kepada lapan prinsip Islam Hadhari iaitu syumul dan seimbang, mesra, cemerlang, kreatif, inovatif dan kompetitif, global, ilmu, moden dan kotemporari serta akhlak.Beliau berkata cabaran kedua ialah menjadikan Terengganu sebagai negeri maju mengikut acuan sendiri menjelang 2010.Katanya, kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) disasarkan meningkat daripada 3.4 peratus pada masa kini kepada purata enam peratus setahun dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Cabaran ketiga ilah cabaran mengubah struktur ekonomi negeri yang terlalu bergantung kepada sumber petroleum, di samping sebanyak 27 peratus tenaga kerja adalah dalam sektor pertanian.“Oleh itu, kerajaan negeri perlu mencari sumber pendapatan negeri yang baru seperti pelancongan dan bioteknologi. Kita mensasarkan kenaikan sumbangan sektor pelancongan kepada KDNK daripada tiga peratus kepada 10 peratus dalam tempoh lima tahun,” katanya.Idris berkata cabaran keempat ialah mengatasi masalah infrastruktur melalui perancangan jangka panjang, manakala cabaran kelima ialah untuk memperbaiki sistem penyampaian kerajaan.Beliau berkata untuk terus kekal relevan dan kompetitif, mekanisme dan operasi kerajaan negeri perlu lebih ‘pro-peniagaan’.“Kerajaan akan meningkatkan keupayaan ‘one - stop investment centre’ yang sedia ada supaya dapat memproses dan meluluskan sebarang permohonan yang lengkap dalam tempoh sebulan dari tarikh permohonan dibuat,” katanya.
-- Berita Harian