Saturday, August 4, 2007

Tipu 3: Terenganu Guna Mesin Berteknologi Untuk Pelupusan Sampah

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan menggunakan mesin pelupusan sampah berteknologi tinggi agar sampah sarap tidak terus mencemarkan alam sekitar, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Ahmad Said.
Bagi tujuan itu, katanya beliau akan mengadakan lawatan ke Korea tidak lama lagi bagi meninjau keberkesanan mesin berkenaan untuk digunakan di negeri ini.
Katanya kajian menunjukkan bahawa kaedah pembuangan sampah di kawasan pelupusan sampah seperti hutan dan bukit ketika ini sudah tidak relevan lagi kerana ia boleh membawa banyak masalah, termasuk pencemaran.
"Oleh itu kita mahu mencuba teknologi moden ini di mana mesin tersebut membolehkan bahan daripada sampah digunakan semula sebagai baja, manakala karbon yang dikeluarkan boleh dijual," katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Selain itu, Ahmad berkata sejumlah 1,000 tong sampah akan ditambah di seluruh negeri tahun depan sebagai usaha meningkatkan tahap kebersihan negeri sejajar dengan konsep Islam Hadhari Terengganu Bistari.
-- BERNAMA

No comments: