Friday, May 29, 2009

RM234.4j laksana projek telekomunikasi

RM234.4j laksana projek telekomunikasi

KUALA TERENGGANU – Sebanyak RM234.4 juta diperuntukkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi melaksanakan projek pembangunan infrastruktur telekomunikasi di negeri ini bermula 2008 hingga 2010 supaya masyarakat memperoleh akses jalur lebar secara lebih meluas.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Yahaya Khatib Mohamad berkata, peruntukan berkenaan dibiayai tabung Perkhidmatan Sejagat (USP) dan melaluinya pihak SKMM menyasarkan kadar penembusan internet bagi setiap isi rumah sebanyak 50 peratus pada tahun 2010 berbanding 10.6 peratus pada tahun lalu.

:“Daripada jumlah peruntukan berkenaan, sebanyak RM137.2 juta diperuntukkan untuk pembinaan 98 menara telekomunikasi baru di seluruh negeri ini di bawah program Time-3 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2010.

“Pelaksanaan projek ini membolehkan perkhidmatan selular diperluaskan ke semua kawasan penempatan penduduk terutama di kawasan luar bandar seperti Setiu, Hulu Terengganu, Dungun, Besut dan Marang,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia 2009 peringkat Wilayah Timur di Taman Batu Burok, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Wilayah Timur Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Shafie Harun dan Pengarah Unit Urusan Maklumat Negeri, Che Rani Mohd.

Sehubungan itu, beliau berharap, pihak SKMM, syarikat perkhidmatan selular dan syarikat Desa Bina Industries Sdn Bhd sebagai ‘state-backed company’ dapat bekerjasama dengan semua pejabat daerah serta agensi kerajaan negeri untuk mengenal pasti lokasi di seluruh Terengganu khususnya di kawasan penempatan penduduk luar bandar yang masih memerlukan perkhidmatan telekomunikasi mudah alih.

Menurutnya, sehingga kini Terengganu memiliki 404 menara telekomunikasi dan dengan pertambahan 98 jumlah menara berkenaan sebanyak 95 peratus penduduk negeri ini akan mendapat akses terhadap perkhidmatan jalur lebar berkenaan.

“Dalam projek pembangunan infrastruktur telekomunikasi juga, sebanyak 48 Pusat Jalur Lebar Komuniti akan diwujudkan membabitkan peruntukan berjumlah RM72 juta dan sehingga kini 12 daripadanya telah beroperasi termasuk di Kampung Merchang, Marang," katanya.

Friday, May 22, 2009

TTI Catat Keuntungan Dalam Suku Pertama Tahun Ini

May 21, 2009 17:51 PM

TTI Catat Keuntungan Dalam Suku Pertama Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 21 Mei (Bernama) -- Pengendali Taman Tamadun Islam (TTI) TTI Management Sdn Bhd mencatat keuntungan bersih sebanyak RM111,000 dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa projek di Pulau Wan Man itu satu pembaziran.

Pengerusinya Datuk Zakaria Awang berkata dalam tempoh tersebut, TTI Management berjaya memperolehi pendapatan keseluruhan sebelum ditolak cukai sebanyak RM2.1 juta.

"Prestasi TTI Management pada suku pertama 2009 adalah amat menggalakkan dengan kehadiran seramai 182,739 pengunjung ke TTI termasuk 50,566 lagi telah mengunjungi Taman Monumen," katanya kepada pemberita sempena Ulang Tahun Kali Pertama Taman Tamadun Islam, di Pulau Wan Man, di sini hari ini.

Zakaria berkata 40 peratus daripada pengunjung itu terdiri daripada rakyat Terengganu, 40 peratus dari luar negara dan 20 peratus lagi rakyat Malaysia.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas, TTI telah dikunjungi 2 juta orang termasuk 290,000 pengunjung Taman Monumen yang menghasilkan pendapatan sebanyak RM4.9 juta.

Pada tahun ini, Zakaria berkata pihaknya mensasarkan seramai 1.2 juta orang akan mengunjungi TTI.

Beliau berkata pengunjung pada tahun lepas lebih ramai berbanding tahun ini kerana beberapa acara besar berlangsung di TTI seperti Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Perkampungan Hadhari.

Zakaria berkata TTI sedang berusaha untuk menarik pengunjung dari negara Thailand dan Singapura memandangkan kedudukan negara itu tidak jauh dari Terengganu.

Katanya, antara tarikan baru yang akan ditambah di TTI ialah menempatkan beberapa ekor unta di samping membuka restoran nasi arab.

Beliau berkata beberapa program juga akan diadakan sempena cuti sekolah minggu depan seperti jejak khalifah, giat games, sketch & guess, TTI Family Quiz dan hiburan di Taman Monumen dan B'Beteng.

-- BERNAMA

Dua juta kunjungi Taman Tamadun Islam

Dua juta kunjungi Taman Tamadun Islam

KUALA TERENGGANU 21 Mei - Taman Tamadun Islam (TTI) yang menempatkan 21 monumen tamadun Islam dan Masjid Kristal yang dibuka kepada orang ramai sejak 1 Mei tahun lepas berjaya menarik lebih dua juta orang pengunjung sepanjang tahun lalu.

Pengerusi TTI Management Sdn. Bhd., Datuk Zakaria Awang berkata, sambutan orang ramai membolehkan TTI meraih pendapatan sebanyak RM4.9 juta dalam tempoh tersebut.

''Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, TTI memperoleh RM2.12 juta daripada kunjungan orang ramai," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Zakaria yang juga Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berkata, dalam tempoh itu juga TTI mencatatkan kedatangan pelancong seramai 182,739 orang yang sebahagian besarnya dari luar Terengganu.

Menurutnya, dijangkakan sehingga akhir tahun ini TTI mampu menarik lebih 1.2 juta pelancong iaitu 50 peratus pelancong domestik, 35 peratus penduduk tempatan dan 15 peratus pelancong asing.

Beliau berkata, sempena sambutan ulang tahun pertama TTI pada Mei ini, pelbagai program dirancang dalam usaha mempromosikan ia kepada masyarakat.

Jelasnya, antara aktiviti yang dirancang ialah pertandingan perahu panjang, sukan rakyat dan karnival ulang tahun TTI yang memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk memasarkan produk mereka.

Selain itu, katanya, sempena cuti sekolah pada Jun ini, TTI turut menyediakan pelbagai program berbentuk ilmiah dan hiburan khas untuk para pengunjung.

Zakaria berkata, antara program yang dirancang ialah Jejak Khalifah, Giant Games dan Kuiz Keluarga TTI.

Beliau berkata, TTI juga akan menyediakan tarikan baru kepada pengunjung iaitu perkhidmatan menunggang unta sebanyak lima ekor.

''TTI juga akan membuka restoran makanan Arab bagi memberi peluang kepada pengunjung dan masyarakat tempatan menikmati makanan dari Asia Barat,'' katanya.

Khidmat Spa tarikan terbaru

Khidmat Spa tarikan
terbaru


KEINDAHAN di ruang EKSEKUTIF Ri-Yaz Heritage Resorts & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu.


KUALA TERENGGANU 21 Mei - Satu lagi perkhidmatan baru akan ditawarkan di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa di Pulau Duyong kepada pengunjungnya iaitu perkhidmatan spa.

Ri-Yaz Heritage Resort & Spa dalam satu kenyataan berkata, spa yang dikenali sebagai Sembunyi Spa itu bertemakan kemewahan tropika ASEAN dan akan dibuka di kompleks marina di resort tersebut.

Ia kini dalam proses akhir disiapkan dan dijangka mula beroperasi pada hujung tahun ini.

''Kami masih menunggu kelulusan lesen daripada pihak kerajaan negeri untuk beroperasi," kata kenyataan itu.

Apabila beroperasi kelak, antara perkhidmatan unik yang ditawarkan ialah rawatan jamu termasuk urut, rawatan badan dan muka.

Spa itu juga akan dilengkapkan dengan ruang rawatan, bilik peribadi dan ruang rehat.

''Spa ini akan memisahkan kemudahan yang digunakan untuk lelaki dan wanita termasuk sauna dan mandian wap serta jakuzi," ujar kenyataan itu.

Ulasan : Budaya bermandi wap dan jakuzi ni bukannya budaya orang pulau duyong atau orang kuala terengganu atau orang Terengganu.

Ia tidak ada kena mengena dengan "warisan" Terengganu yang kononnya pembangunan chalet dinama 'Heritage' adalah mengambil warisan dari budaya rakyat Terengganu. Semuanya lebong belake......... baik Monsoon Cup, pembangunan pulau duyong, taman tamadun islam, semua orang tahu ia adalah projek untuk mengagih-agihkan wang royalti kepada kroni-kroni ............

Promosi merakyatkan resort

Promosi merakyatkan resort


Salah satu penginapan menarik yang disediakan Ri-Yaz Heritage Resorts & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu. - UTUSAN/ AZLAN BAHRUM


KUALA TERENGGANU 21 Mei - Sudah hampir setahun, Ri-Yaz Heritage Hotels & Resorts mengambil alih pengurusan satu-satunya resort di Pulau Duyong di sini.

Resort bertaraf lima bintang itu yang dikenali sebagai Ri-Yaz Heritage Resorts & Spa itu merupakan tuan rumah kepada salah satu sukan layar berprestij dunia, Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun.

Pengambilalihan itu juga menyaksikan pihak pengurusan melakukan perubahan dengan melancarkan beberapa program sukan rakyat dalam usaha merakyatkan resort tersebut.

Pengurus Besar resort itu, Malizan Zakaria berkata, ia merupakan sebahagian daripada promosi yang dilakukan bagi menarik orang ramai terutama penduduk tempatan menggunakan kemudahan di resort itu.

''Ini kerana masih ramai yang berpandangan bahawa resort ini eksklusif dan mahal untuk orang biasa.

''Selain itu, mereka terutama penduduk di sini juga mempunyai persepsi bahawa kawasan resort ini tidak boleh dimasuki tanpa kebenaran," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu mungkin berlaku kerana resort itu menjadi tuan rumah kepada Piala Monsun.

''Ia juga berlaku kerana ada yang menganggap resort bertaraf lima bintang ini mahal walhal harga penginapan yang ditawarkan sangat berpatutan," jelasnya.

Justeru katanya, pihaknya telah mengadakan beberapa aktiviti untuk menarik kedatangan orang ramai ke sini bagi mengubah persepsi tersebut.

''Aktiviti terbaru yang akan diadakan ialah Festival Sukan Rakyat dan Pertandingan Memancing selama tiga hari bermula 4 Jun ini.

''Kami berharap program seumpama ini akan dapat mengubah tanggapan mereka terhadap resort ini," ujarnya.

Selain itu, tambahnya, pihaknya kini memperkenalkan pakej penginapan terbaru untuk penduduk di Pantai Timur.

''Penduduk Terengganu, Kelantan dan Pahang ditawarkan dengan pakej serendah RM260 untuk penginapan di bilik kategori deluxe," katanya.

Beliau menambah, sebanyak 52 bilik deluxe yang pada harga biasa berjumlah RM388 ditawarkan dalam pakej penginapan baru itu.

''Kami juga menawarkan penginapan di 26 bilik executive deluxe, executive suite (4), cemara Suite (2) dan suite diraja (13)," ujarnya.

Selain itu katanya, pihaknya menawarkan perkhidmatan dewan pameran secara percuma kepada mana-mana pihak yang berminat bermula bulan depan sehingga Oktober.

''Ini merupakan sebahagian daripada rangka promosi bagi memperkenalkan kemudahan-kemudahan yang ada di resort ini kepada orang ramai," katanya.

Dalam pada itu jelasnya, pihaknya juga menawarkan pakej minum petang pada harga berpatutan pada setiap Jumaat bermula 2 hingga 5 petang.

''Pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan nyanyian secara live dan aksi badut," jelasnya.

Nota : Bagaimana rakyat boleh mampu untuk menyewa chalet di Pulau Duyong semahal RM300 sehari ? Berapa ramai rakyat Terengganu yang mahu membazirkan RM 300 sehari............ adakah RM300 sehari itu murah bagi kerajaan UMNO/BN ????

Apa sebenarnya rakyat dapat daripad pembangunan Pulau Duyong ???