Friday, May 22, 2009

Dua juta kunjungi Taman Tamadun Islam

Dua juta kunjungi Taman Tamadun Islam

KUALA TERENGGANU 21 Mei - Taman Tamadun Islam (TTI) yang menempatkan 21 monumen tamadun Islam dan Masjid Kristal yang dibuka kepada orang ramai sejak 1 Mei tahun lepas berjaya menarik lebih dua juta orang pengunjung sepanjang tahun lalu.

Pengerusi TTI Management Sdn. Bhd., Datuk Zakaria Awang berkata, sambutan orang ramai membolehkan TTI meraih pendapatan sebanyak RM4.9 juta dalam tempoh tersebut.

''Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, TTI memperoleh RM2.12 juta daripada kunjungan orang ramai," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Zakaria yang juga Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berkata, dalam tempoh itu juga TTI mencatatkan kedatangan pelancong seramai 182,739 orang yang sebahagian besarnya dari luar Terengganu.

Menurutnya, dijangkakan sehingga akhir tahun ini TTI mampu menarik lebih 1.2 juta pelancong iaitu 50 peratus pelancong domestik, 35 peratus penduduk tempatan dan 15 peratus pelancong asing.

Beliau berkata, sempena sambutan ulang tahun pertama TTI pada Mei ini, pelbagai program dirancang dalam usaha mempromosikan ia kepada masyarakat.

Jelasnya, antara aktiviti yang dirancang ialah pertandingan perahu panjang, sukan rakyat dan karnival ulang tahun TTI yang memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk memasarkan produk mereka.

Selain itu, katanya, sempena cuti sekolah pada Jun ini, TTI turut menyediakan pelbagai program berbentuk ilmiah dan hiburan khas untuk para pengunjung.

Zakaria berkata, antara program yang dirancang ialah Jejak Khalifah, Giant Games dan Kuiz Keluarga TTI.

Beliau berkata, TTI juga akan menyediakan tarikan baru kepada pengunjung iaitu perkhidmatan menunggang unta sebanyak lima ekor.

''TTI juga akan membuka restoran makanan Arab bagi memberi peluang kepada pengunjung dan masyarakat tempatan menikmati makanan dari Asia Barat,'' katanya.

No comments: