Friday, May 22, 2009

Promosi merakyatkan resort

Promosi merakyatkan resort


Salah satu penginapan menarik yang disediakan Ri-Yaz Heritage Resorts & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu. - UTUSAN/ AZLAN BAHRUM


KUALA TERENGGANU 21 Mei - Sudah hampir setahun, Ri-Yaz Heritage Hotels & Resorts mengambil alih pengurusan satu-satunya resort di Pulau Duyong di sini.

Resort bertaraf lima bintang itu yang dikenali sebagai Ri-Yaz Heritage Resorts & Spa itu merupakan tuan rumah kepada salah satu sukan layar berprestij dunia, Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun.

Pengambilalihan itu juga menyaksikan pihak pengurusan melakukan perubahan dengan melancarkan beberapa program sukan rakyat dalam usaha merakyatkan resort tersebut.

Pengurus Besar resort itu, Malizan Zakaria berkata, ia merupakan sebahagian daripada promosi yang dilakukan bagi menarik orang ramai terutama penduduk tempatan menggunakan kemudahan di resort itu.

''Ini kerana masih ramai yang berpandangan bahawa resort ini eksklusif dan mahal untuk orang biasa.

''Selain itu, mereka terutama penduduk di sini juga mempunyai persepsi bahawa kawasan resort ini tidak boleh dimasuki tanpa kebenaran," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu mungkin berlaku kerana resort itu menjadi tuan rumah kepada Piala Monsun.

''Ia juga berlaku kerana ada yang menganggap resort bertaraf lima bintang ini mahal walhal harga penginapan yang ditawarkan sangat berpatutan," jelasnya.

Justeru katanya, pihaknya telah mengadakan beberapa aktiviti untuk menarik kedatangan orang ramai ke sini bagi mengubah persepsi tersebut.

''Aktiviti terbaru yang akan diadakan ialah Festival Sukan Rakyat dan Pertandingan Memancing selama tiga hari bermula 4 Jun ini.

''Kami berharap program seumpama ini akan dapat mengubah tanggapan mereka terhadap resort ini," ujarnya.

Selain itu, tambahnya, pihaknya kini memperkenalkan pakej penginapan terbaru untuk penduduk di Pantai Timur.

''Penduduk Terengganu, Kelantan dan Pahang ditawarkan dengan pakej serendah RM260 untuk penginapan di bilik kategori deluxe," katanya.

Beliau menambah, sebanyak 52 bilik deluxe yang pada harga biasa berjumlah RM388 ditawarkan dalam pakej penginapan baru itu.

''Kami juga menawarkan penginapan di 26 bilik executive deluxe, executive suite (4), cemara Suite (2) dan suite diraja (13)," ujarnya.

Selain itu katanya, pihaknya menawarkan perkhidmatan dewan pameran secara percuma kepada mana-mana pihak yang berminat bermula bulan depan sehingga Oktober.

''Ini merupakan sebahagian daripada rangka promosi bagi memperkenalkan kemudahan-kemudahan yang ada di resort ini kepada orang ramai," katanya.

Dalam pada itu jelasnya, pihaknya juga menawarkan pakej minum petang pada harga berpatutan pada setiap Jumaat bermula 2 hingga 5 petang.

''Pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan nyanyian secara live dan aksi badut," jelasnya.

Nota : Bagaimana rakyat boleh mampu untuk menyewa chalet di Pulau Duyong semahal RM300 sehari ? Berapa ramai rakyat Terengganu yang mahu membazirkan RM 300 sehari............ adakah RM300 sehari itu murah bagi kerajaan UMNO/BN ????

Apa sebenarnya rakyat dapat daripad pembangunan Pulau Duyong ???

No comments: