Friday, May 22, 2009

TTI Catat Keuntungan Dalam Suku Pertama Tahun Ini

May 21, 2009 17:51 PM

TTI Catat Keuntungan Dalam Suku Pertama Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 21 Mei (Bernama) -- Pengendali Taman Tamadun Islam (TTI) TTI Management Sdn Bhd mencatat keuntungan bersih sebanyak RM111,000 dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa projek di Pulau Wan Man itu satu pembaziran.

Pengerusinya Datuk Zakaria Awang berkata dalam tempoh tersebut, TTI Management berjaya memperolehi pendapatan keseluruhan sebelum ditolak cukai sebanyak RM2.1 juta.

"Prestasi TTI Management pada suku pertama 2009 adalah amat menggalakkan dengan kehadiran seramai 182,739 pengunjung ke TTI termasuk 50,566 lagi telah mengunjungi Taman Monumen," katanya kepada pemberita sempena Ulang Tahun Kali Pertama Taman Tamadun Islam, di Pulau Wan Man, di sini hari ini.

Zakaria berkata 40 peratus daripada pengunjung itu terdiri daripada rakyat Terengganu, 40 peratus dari luar negara dan 20 peratus lagi rakyat Malaysia.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas, TTI telah dikunjungi 2 juta orang termasuk 290,000 pengunjung Taman Monumen yang menghasilkan pendapatan sebanyak RM4.9 juta.

Pada tahun ini, Zakaria berkata pihaknya mensasarkan seramai 1.2 juta orang akan mengunjungi TTI.

Beliau berkata pengunjung pada tahun lepas lebih ramai berbanding tahun ini kerana beberapa acara besar berlangsung di TTI seperti Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Perkampungan Hadhari.

Zakaria berkata TTI sedang berusaha untuk menarik pengunjung dari negara Thailand dan Singapura memandangkan kedudukan negara itu tidak jauh dari Terengganu.

Katanya, antara tarikan baru yang akan ditambah di TTI ialah menempatkan beberapa ekor unta di samping membuka restoran nasi arab.

Beliau berkata beberapa program juga akan diadakan sempena cuti sekolah minggu depan seperti jejak khalifah, giat games, sketch & guess, TTI Family Quiz dan hiburan di Taman Monumen dan B'Beteng.

-- BERNAMA

No comments: