Saturday, August 4, 2007

Tipu 4: ‘Monsoon Cup’ Raih RM315J

‘Monsoon Cup’ Raih RM315J - Putar Belit atau Pembohongan.
Oleh Wartawan Bebas

Laporan yang diumumkan oleh Idris Jusoh adalah satu Laporan Acara dan Penilaian Jenama. Akhbar Utusan Malaysia 29 Mac, langsung tidak menyatakan bahawa ia adalah laporan Acara dan Penilaian Jenama. Cuma Berita Harian ada menyebutnya. Laporan New Straits Times jelas menyatakan ianya adalah ‘Monsoon Cup 2006 Event Valuation Report’, maknanya Laporan Penilaian Acara Monsoon Cup 2006, bukannya satu Laporan Kewangan!

Oleh kerana ia adalah Laporan Penilaian, maka kaedah penilaian keuntungan tersebut dibuat adalah berdasarkan anggaran semata-mata. Ini jelas dinyatakan oleh laporan akhbar bahawa ;

“Nilai ketara berjumlah RM277,630,300, manakala nilai tidak ketara pula ialah RM37,365,611. Jika ditolak kos penganjuran acara itu sebanyak RM20,067,997, nilai acara yang diaudit mencapai jumlah RM294,927,920,”

Kenyataan ini menyebut nilai, bukan jumlah sebenar yang diterima

Juga di sebut sebagai “Penilaian kasar Media TV mencatat peningkatan sebanyak 69 peratus (RM111,643,728), manakala jumlah kehadiran pengunjung sebanyak 35 peratus membabitkan kehadiran 33,700 orang.”

Jelas dinyatakan Penilaian Kasar, bermakna bukan angka sebenar. Selain itu kehadiran 33, 700 orang juga adalah jumlah yang tidak munasabah langsung.

Selain itu terdapat percanggahan pelaporan antara Berita Harian dan Straits Times. Mungkin kerana wartawan dan Ketua Pengarang sendiri pun tidak berapa faham, sebagaimana orang ramai.

Berita Harian menyebut “Berdasarkan laporan penilaian kasar Media TV mencatat peningkatan sebanyak 69 peratus (RM111,643,728), manakala jumlah kehadiran pengunjung sebanyak 35 peratus membabitkan kehadiran 33,700 orang.”

Manakala New Straits Times melaporkan “Last year’s event also garnered RM111,643,728 in gross media value, a 45 per cent increase from 2005. Viewership of the live telecast and highlights of the event also increased by 80 per cent from the previous year”

Andaikanlah bahawa anggaran penilaian yang dibentangkan oleh Deris Jusoh bersama Taukeh Konspirasi (Adnan Mansor) itu betul, beberapa persoalan perlu di jawab. Yang pertama, siapa yang memperolehi hak penyiaran Piala Monsoon 2005 dan 2006? Siapa pula yang akan mendapat hasil RM 315J seperti yang dinyatakan ? Kerajaan dan rakyat Negri Terengganu ??? Mungkin Tidak !!

Yang jelas, benar dan diketahui umum, sehingga kini akaun penganjuran Monsoon Cup 2005 masih tidak ditutup. Maklumat dari pejabat audit menyatakan demikian. Selain itu Laporan Ketua Audit Negara Didalam Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu 2005, menyatakan dengan jelas masalah akaun penerimaan dan pembayaran penganjuran Monsoon Cup 2005 dan Amanh Projek Pembangunan Pulau Duyung. Ia dinyatakan dengan jelas didalam mukasurat 35, seperti dibawah;

b) Akaun Amanah Program Penganjuran Monsoon Cup Negeri Terengganu Dan Amanah Projek Pembangunan Pulau Duyung

Kedua akaun amanah ini ditubuhkan pada awal September 2005. Akaun Amanah Program Penganjuran Monsoon Cup bertujuan untuk mengakaunkan pembiayaan program penganjuran sukan kapal layar yang dikenali sebagai Monsoon Cup Negeri Terengganu yang akan diadakan setiap tahun. Manakala Akaun Amanah Projek Pembangunan Pulau Duyung pula adalah untuk mengakaunkan perbelanjaan bagi projek pembangunan Pulau Duyung Negeri Terengganu. Kedua akaun ini dikawal oleh Pegawai Kewangan Negeri. Sumber utama akaun ini adalah melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan. Mengikut arahan amanah, penyata penerimaan dan pembayaran tahunan hendaklah dikemukakan untuk diaudit tidak lewat dari 31 Mac setiap tahun. Semakan Audit mendapati perkara seperti berikut:

i) Penyata Penerimaan Dan Pembayaran kedua-dua akaun tersebut secara terperinci tidak dikemukakan untuk diaudit.
ii) Kedua-dua akaun amanah tersebut telah ditubuhkan mengikut Seksyen 9, Akta Acara Kewangan 1957. Akaun amanah ini sepatutnya ditubuhkan di bawah Seksyen 10 Akta Acara Kewangan kerana sumbernya adalah wang kerajaan. Mengikut penjelasan daripada pihak Perbendaharaan Negeri, perkara di atas berlaku kerana ia tidak melibatkan wang Kerajaan Negeri dan penubuhan akaun ini bertujuan untuk mengakaun sementara terimaan daripada Kerajaan Persekutuan sebelum dibayar kepada Agensi Negeri dan syarikat yang melaksanakan aktiviti tersebut.
iii) Tidak semua perbelanjaan berkaitan diakaunkan terutamanya perbelanjaan yang dibuat di peringkat Jabatan dan Agensi Negeri yang terlibat.

Harakah pernah menerbitkan laporan ini pada awal tahun dan menyarankan BPR perlu menyiasat perkara tersebut. Namun tidak ada apa-apa kenyataan dibuat oleh pihak berkuasa sehingga kini.

No comments: